BELAJAR DARI YANG BAWAH, ALANGKAH INDAH!
Beberapa bulan yang lalu, saya menyertai satu projek membantu gelandangan (Nasi Bungkuih Project) yang dianjurkan oleh The Awesome Community. Program ini selalu dijalankan pada malam Jumaat hampir setiap bulan. Alhamdulillah. Terima kasih pihak penganjur. Anda memang sangat “awesome”.
Sebelum program bermula, para peserta akan dihubungi untuk berkumpul di suatu tampat ( selalunya di dataran FAB atau di tasik berdekatan Pusat Kesihatan UTM). Di sini, para peserta akan bekerjasama untuk operasi pembungkusan makanan dan barangan yang lain untuk diagihkan kepada clients. Kemudian, barulah para peserta akan diagihkan mengikut kumpulan masing-masing. Biasanya satu kumpulan kurang dari tujuh orang. Setiap kumpulan dinasihatkan untuk menempatkan beberapa pelajar lelaki atas sebab keselamatan.
Alhamdulillah, saya bersama ahli kumpulan saya yang lain telah ditugaskan untuk mencari ‘clients’ di sekitar JB Central. Clients itu merujuk kepada para gelandangan. Menjadi satu adab yang perlu kita pelajari agar saling menghormati antara sama lain tidak kira darjat mahupun pangkat.
Antara benda yang paling terkesan bagi saya adalah reaksi beberapa clients kami yang sangat bersyukur ketika mendapat bantuan.
Teringat lagi, ketika mahu memberikan makanan serta barangan lain kepada seorang amoi di tepi jalan. Amoi itu sedang mengutip tin-tin kosong. Pakaiannya biasa-biasa sahaja. Apa yang diungkapkan olehnya membuatkan hati ini terpaku sebentar. Dia tidak mahu mengambil satu pun dari apa yang kami bawa, katanya ada orang lain yang lebih memerlukan. Saya boleh cari makan sendiri.
Inilah nilai yang kita mahukan. Kalau orang biasa pon belum tentu dapat berkata sedemikian. Bahkan, kita dahulu yang berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan. Walaupun, sebenarnya kita tidak memerlukannya pon.
Lagi seorang client kami, lelaki yang dalam kiraan umur 20-an. Tak putus-putus di bibirnya kalimah alhamdulillah. Tak henti mengucapkan terima kasih. Aduhhh... kok kita tak mampu menjadi sepertinya? Kita terlalu sombong dan angkuh. Adab pon kadang-kadang tiada.
Setiap kali menyertai projek gelandangan, pasti ada sahaja sesuatu yang Allah hadirkan untuk dimuhasabahkan. Tidak pernah kering dari tazkirah untuk hati yang seringkali mati ketandusan cinta pada Tuhan. Bukankah Allah pernah berfirman dalam surah al-Maun :
“بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ Itulah orang yang mengherdik anak yatim,
وَلا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.
Sedikit coretan untuk dihayati. Bagaimana seorang yang miskin harta tetapi kaya dengan adab dan budi bahasa. Semoga Allah memelihara mereka. Di antara kita, boleh jadi merekalah yang akan mendahului kita ke syurga.
No comments:
Post a Comment