Dobro pozholovalt!
Welcome to Russia!
Pertama kali melangkah ke luar negara. Negara yang orang kata, whoaaaa.. sejuknya! Aku bersama rakan-rakan yang lain mula menunggu di ruang "Baggage Claim". Semua kelihatan begitu penat dan pada masa yang sama terpaksa berdiri lama di Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedovo, Moscow. Aku ingat bagasi akulah yang paling besar, seberat 34 kilogram. Rupanya, ramai lagi sebenarnya yang berat-berat belaka. Apabila berjumpa seorang senior Moscow Aviation Institute(MAI) di asrama tumpangan kami, masih segar dalam ingatanku kata-katanya,"Eh, adik bawak sekali lesung batu ke ni? ". Aduh. Malu pula rasanya. Geli hati pun ada bila teringat kenangan itu.
Seusai solat jama' dan membersihkan diri, kami dijemput ke ruang yang tersedia di asrama MAI. Masih ingat lagi, kami yang terkandas dari makan nasi hampir seharian sudah mula mengaum kelaparan. Bagai mengantuk, disorongkan bantal pula. Sedapnya nasi ayam itu tidak terkata. Alhamdulillah. Begitu indah sekali nilai murni yang ditunjukkan oleh para pelajar atasan di sana ketika menyambut tetamu yang jauh ini. Semoga Allah mengurniakan sebanyak-banyak ganjaran yang baik kepada mereka semua. Amin.
Keesokan harinya, kami dibawa ke Kedutaan Moscow dengan menaiki sebuah bas. Perjalanan yang agak jauh aku rasa. Masih aku ingat satu peristiwa yang berlaku di atas bas pada hari kejadian. Disebabkan tidak tahu bahawa di dalam bas tidak boleh makan dan minum, aku dimarah oleh pemandu bas itu. Aduhai... belum lagi sampai ke destinasi sudah macam-macam.
Sampai sahaja di sana, kami bersarapan terlebih dahulu memandangkan semua orang kelihatan sangat lapar. Mujurlah di sini kami disajikan dengan makanan Malaysia. Indahnya hidup ini ketika itu kerana bersungguh-sungguh makan. Maklumlah, mungkin ini kali terakhir makan makanan Malaysia yang cukup sifatnya.
Makan sudah, tibalah masanya kami diberi taklimat tentang aspek keselamatan di Bumi Soviet itu. Penerangan tersebut disuarakan oleh salah seorang pegawai MARA yang ditugaskan di sana. Selesai semua, kami dibawa pulang ke asrama asal kerana sebahagian dari kami masih belum sampai ke destinasi sepatutnya, iaitu Saint Petersburg. Dan akulah antara sebahagian pelajar baru itu.
Gementar. Takut. Kerana hanya berbaki 13 orang sahaja. Untuk penerbangan domestik, semestinya kami, golongan yang harus mengurangkan berat bagasi perlu membayar lebih untuk dimasukkan ke dalam kargo. Syukur, tidaklah semahal yang disangka.
Dari atas, kelihatan satu kota berhampiran laut ketika di udara selama lebih kurang 50 minit. Ya. Itulah tempat belajarku selama empat tahun. Cantik. Tetapi, bila tiba di Lapangan Terbang Pulkovo, Saint Petersburg, anganku menjadi kabur. Lapangan terbangnya yang kurang selesa terpaksa kami redha. Alhamdulillah, kami dibawa ke asrama sementara dengan menaiki sebuah masyrut atau di sini orang panggil van besar. Perjalanan tidak jauh, hanya memakan masa lebih kurang 30 minit untuk tiba di sana.
Apartment. Wahhhh. Seronok benar aku ketika itu. Mahu tidaknya, kusangka akan tinggal di sana bersama rakan-rakan sama jantina. Jumlah hanya lima orang. Sangkaanku meleset buat kali kedua. Rupanya kami terpaksa tinggal bersama pelajar lelaki juga. Apakah yang berlaku sebenarnya? Boleh cari gaduh ni. Haha. Apakan daya, terpaksa akur dengan keputusan orang atasan. Kerana kata mereka, hanya untuk dua bulan sahaja sebelum dipindahkan ke asrama sebenar. Padahal, terasa sangat rimas dan cemas semestinya. Allah sahaja yang tahu.
To be continued...